Wednesday, March 13, 2013

Darah Wanita (Haid, Istihadhah, Nifas dan Fasad)


HAIDH, ISTIHADHAH, NIFAS DAN FASAD

1.             Darah yang keluar dari rahim perempuan itu ada empat jenis iaitu:

a.             Darah Haidh.  Darah haidh ialah darah yang keluar dari rahim perempuan yang berumur 9 tahun atau lebih dengan kiraan tahun hijriyyah di dalam keadaan sihat.  Masa keluarnya darah haidh :
(1)           Masa yang paling pendek ialah sehari semalam (24 jam).
(2)           Masa yang sederhana ialah 6 hari atau 7 hari siang dan malam.
(3)           Masa yang paling lama ialah lima belas hari.

b.             Darah Istihadhah. Darah Istihadhah  ialah darah yang keluar dari rahim perempuan pada masa yang bukan masa haidh dengan sebab penyakit.

c.             Darah Nifas. Darah nifas, ialah darah yang keluar dari rahim perempuan selepas melahirkan anak, sekalipun hanya berupa segumpal darah.  Jangka masa keluarnya darah nifas :
(1)           Masa yang paling pendek ialah kadar keluar setitik darah.
(2)           Masa yang sederhana ialah empat puluh hari.
(3)           Masa yang paling lama ialah enam puluh hari.

d.             Darah Fasad. Darah fasad ialah darah yang keluar dari rahim perempuan   ketika umurnya belum sampai
9 tahun, darah yang keluar dari rahim perempuan sebelum melahirkan anak, darah yang keluar bersama-sama anaknya, dan begitu juga darah yang keluar dari rahim perempuan di dalam masa kurang dari sehari semalam.

DARAH HAIDH

2.             Apa yang dimaksudkan dengan darah haid?

Haid dari segi bahasa bermakna mengalir.  Adapun dari segi istilah ahli Fiqh, ia adalah darah yang mengalir keluar dari kemaluan wanita dari dalam rahimnya (uterus) kerana semulajadi (bukan kerana penyakit atau kerana selepas melahirkan anak). Keluarnya pada masa tertentu apabila seorang wanita telah mencapai umur tertentu.

(Sekurang-kurang masa haid ialah sehari semalam dan kebiasaaannya ialah enam hari enam malam atau tujuh hari tujuh malam . Bermula sebanyak-banyak masa haid itu ialah lima belas hari beserta malamnya.)

3.             Umur kemungkinan kedatangan haidh :
  
a.             Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie, Hanafi, Hanbali dan kebanyakan ulamak mazhab Maliki); sekurang-kurang umur datangnya haid ialah sembilan tahun. Maka menurut pandangan ini, darah yang kelihatan sebelum sembilan tahun bukan darah haid, tetapi darah fasad.

b.             Sebahagian ulamak mazhab Maliki berpendapat; jika darah keluar dari kanak-kanak perempuan antara umur 9 hingga 13 tahun, hendaklah keadaannya ditanya kepada kaum wanita atau doktor yang berpengalaman. Jika mereka mengesahkan bahawa yang keluar adalah haid, maka darah itu adalah haid. Jika tidak, maka ia bukan darah haid.

c.             Wanita yang kedatangan haid –jika umurnya telah genap sembilan tahun mengikut pandangan jumhur tadi-, ia dianggap telah baligh dan dituntut melaksanakan kewajipan-kewajipan Syarak. Ia sama seperti kanak-kanak lelaki yang baligh kerana mimpi hingga keluar mani. Bagi kanak-kanak yang tidak bermimpi atau datang haid, umur balighnya ialah 15 tahun, yakni apabila masuk umur 15 tahun, maka mereka dikira baligh sekalipun tidak datang haid atau tidak berlaku mimpi tersebut.

d.             Diriwayatkan daripada Aisyah r.a, bahawa beliau berkata:

“Apabila seorang kanak-kanak perempuan mencecah usia sembilan tahun maka ia dikenali sebagai wanita”.
Hadis diriwayatkan oleh al-Baihaqi

e.             Kebanyakan imam mazhab  berpendapat sekurang-kurangnya umur berlaku haid adalah ketika seseorang wanita berumur 9 tahun berdasarkan kepada kebiasaan yang terjadi.

4.             Umur putusnya haid (monopouse):

a.             Menurut mazhab Syafi’ie; tidak ada umur tetap bagi putusnya haid. Ia hendaklah dikiaskan kepada ahli-ahli keluarga terdekat bagi seorang wanita dari pihak bapa dan juga pihak ibu seperti ibu-ibu saudara sebelah bapa dan ibu-ibu saudara sebelah ibu. Hal tersebut kerana faktor keturunan. Namun jika perlu untuk dilihat kepada faktor umur, maka Imam Syafi’ie menganggarkan bahawa umur putus haid ialah selepas 62 tahun kerana ia adalah umur kebiasaannya wanita putus haid.

b.             Mazhab Imam Abu Hanifah menetapkan umur putus haid sebagai 55 tahun. Selepas umur tersebut, darah yang keluar tidak lagi dinamakan haid mengikut pandangan yang terpilih dalam mazhab.

c.             Menurut mazhab Maliki pula, umur putus haid dari 50 hingga 70 tahun. Jika darah masih keluar selepas umur 70 tahun, maka ia bukan haid tetapi istihadhah.

d.             Mazhab Imam Ahmad pula menetapkan umur putus haid antara 50 hingga 60 tahun.  Antara dua tempoh ini merupakah tempoh syak di mana jika seorang wanita melihat darah semasa tempoh ini, maka ia tidak boleh berhenti dari ibadah sebagai langkah ihtiyat (berhati-hati) dan keluar dari khilaf. Namun jika umurnya genap 60 tahun dan darah masih keluar, maka darah yang dilihatnya bukan darah haid, tetapi istihadhah.

e.             Apa yang perlu dilakukan oleh wanita yang telah putus haidnya?

Wanita yang telah putus haid, ia hendaklah bertindak sebagai perempuan yang suci sepanjang masa sama ada dari segi ibadah atau hukum-hakam yang lain. Dalam masalah eddah pula, ia hendaklah bereddah mengikut bulan, bukan mengikut bilangan haid atau bilangan suci lagi. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya dalam surah al-Talaq, ayat 4.

5.             Tempoh haid

Dalam menentukan tempoh paling singkat dan tempoh paling panjang bagi haid, para ulamak berbeza pandangan;

a.             Menurut Imam Syafi’ie, Atha dan Abu Thur; tempoh haid yang paling singkat ialah sehari semalam (yakni 24 jam) secara berterusan. Tempoh kebiasaan wanita kedatangan haid ialah selama enam atau tujuh hari. Adapun tempoh paling panjang bagi haid ialah lima belas hari. Maka berdasarkan pandangan ini; jika darah yang datang kurang dari sehari semalam atau melebihi lima belas hari, maka ia bukan darah haid tetapi darah penyakit atau istihadhah.

b.             Bagi Imam Abu Hanifah dan as-Sauri pula; tempoh haid paling singkat ialah tiga hari dan tempoh paling panjang ialah 10 hari.

c.             Mengikut Imam Malik pula, tidak ada batasan bagi tempoh haid yang paling singkat, yakni ada kemungkinan haid datang sedetik sahaja. Adapun tempoh paling panjang, terdapat tiga riwayat dari beliau iaitu; 15 hari, 17 hari atau tiada batasan.

d.             Menurut Imam Ibnu Taimiyyah; tidak perlu ditentukan tempoh paling singkat bagi haid dan juga tempoh paling lama baginya, akan tetapi dikira apa yang telah tetap menjadi kebiasaan bagi seorang wanita maka itulah tempoh haid baginya sekalipun tempoh itu kurang dari sehari atau lebih dari 15 hari atau 17 hari. Begitu juga tidak ada had bagi umur paling bawah untuk kedatangan haid dan juga umur paling lama/paling hujung. Sama juga, tidak ada had bagi sekurang-kurang masa suci antara dua haid. Menurut beliau lagi; bagi perempuan yang mula-mula kedatangan haid (مبتدأة), maka dikira/dihitung sebagai haid darah yang ia lihat selagi ia tidak menjadi mustahadhah (yakni perempuan yang kedatangan istihadhah iaitu darah yang keluar bukan pada masa yang sepatutnya). Begitu juga, perempuan yang berubah kebiasaan hari-hari haidnya (yakni hari-hari kebiasaan haidnya berubah sama ada bertambah atau berkurang atau bertukar pada hari-hari yang lain), maka perubahan itu adalah dikira haid sehinggalah ia mengetahui bahawa darah yang keluar itu bukan haid, tetapi istihadhah kerana darah yang keluar berterusan tanpa henti.

e.             Sekurang-kurang haid: Sehari semalam

f.              Kebiasaan tempoh: 6 hingga 7 hari berdasarkan sabda Rasulullah saw kepada Hamnah binti Jahsy r.a yang bermaksud:
“Setelah kamu kedatangan haid selama enam atau tujuh hari seperti dalam pengetahuan Allah maka mandilah. Dan apabila anda melihat bahawa anda telah suci dan bersih maka tunaikanlah sembahyang dalam masa dua puluh empat malam atau dua puluh tiga malam dan berpuasalah. Sesungguhnya demikian itu memadai bagimu dan demikianlah hendaknya kamu lakukan pada setiap bulan sebagaimana wanita-wanita lain yang kedatangan haid dan sebagaimana mereka suci pada tempoh haid dan tempoh suci mereka”.
Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi-hadis sohih

g.             Selama-lama haid: 15 hari 15 malam. (walaupun kedatangannya tidak terus menerus tetapi kadar keseluruhan datangnya mencapai sehari semalam)

6.             Suci di antara hari-hari kebiasaan haid; adakah dianggap haid atau tidak?

Dalam persoalan ini terdapat khilaf di kalangan ulamak;

a.             Mazhab Syafi’ie dan Abu Hanifah berpendapat; suci yang berlaku pada hari-hari haid dikira sebagai haid. Oleh demikian, jika seorang wanita mendapati satu hari keluar darah dan satu hari berikutnya suci (di mana ia mengetahui suci itu sama ada dengan keringnya darah atau dengan ia meletakkan kapas dan tiada kesan darah haid pada kapas), kemudian hari berikutnya datang semula darah, maka menurut pandangan ini keseluruhan hari adalah haid.  Berkata Imam Khatib as-Syirbini dalam al-Iqna’; “Suci antara darah-darah sama ada dalam tempoh minima haid (iaitu sehari semalam) atau lebih adalah dikira haid kerana mengikutinya (yakni mengikuti haid), tetapi dengan beberapa syarat, iaitu;

(1)           Tempoh suci itu tidak melebihi 15 hari
(2)           Darah-darah haid (yang keluar secara keseluruhannya) tidak kurang dari tempoh minima haid iaitu sehari semalam.
(3)           Suci itu hendaklah dikelilingi antara dua darah haid”.

b.             Mazhab Maliki dan Hanbali pula berpandangan; hari suci antara hari-hari kebiasaan haid adalah dikira suci. Oleh demikian, seorang wanita pada hari suci tersebut hendaklah mandi dan menunaikan solat, harus ia berpuasa, beriktikaf, membaca al-Quran dan tidak ditegah suaminya mensetubuhinya pada hari suci itu.

7.             Masa Suci Diantara Dua Haid

a.             Sekurang-kurang suci diantara dua haid itu ialah 15 hari beserta malamnya. Dan sebanyak-banyaknya pula tidak ada perbatasannya . (masa suci tidak ada perbatasan).

b.             Dalam masaalah masa sebanyak-banyak kedatangan haid itu tidak ada batasan ini kerana perempuan itu terkadang-kadang haid dalam setahun hanya sekali bahkan ada juga perempuan-perempuan yang kedatangan haid seumur hidupnya hanya sekali sahaja.

c.             Masa-masa kedatangan haid itu adalah berdasarkan pemeriksaan (kajian) Ulama fuqaha` yang diriwayatkan oleh syidina Ali Bin Abi Tholib R.A, dan telah dicatatkan oleh imam Syafie didalam kitabnya bersandarkan dalil sabda Nabi S.A.W kepada hamnah bte jahsh :-

Engkau kedatangan haid selama enam hari atau tujuh hari adalah didalam pengetahuan Allah Taala, kemudian engkau mandilah dan apabila telah engkau ketahui akan diri engkau telah suci dan bersih maka hendaklah engkau sembahyang dan berpuasa selama dua puluh empat atau dua puluh tiga hari dalam sebulan yang demikian adalah memadai bagi engkau . begitulah hendaknya engkau perbuat ditiap-tiap bulan sebagaimana suci mereka itu bagi masa haid dan masa sucinya.

(H.Riwayat : Abu daud dan Tarmizi dan katanya Hasan lagi Sahih )

d.             Begitu juga dengan sebanyak-banyak masa haid iaitu 15 hari 15 malam adalah dengan istiqra` Fuqaha` .

8.             Adakah perempuan mengandung ada kemungkinan datang haid?

Para ulamak berikhtilaf dalam masalah ini;

a.             Menurut jumhur ulamak; perempuan mengandung tidak ada kemungkinan datangnya haid. Maka jika seorang wanita melihat darah keluar melalui farajnya semasa ia sedang mengangdung, darah itu bukan darah haid, tetapi darah penyakit.

b.             Namun menurut Imam Syafi’ie, Malik dan al-Laits; perempuan mengandung ada kemungkinan datangnya haid. Menurut mereka; jika perempuan yang mengandung itu mendapati darah keluar dari farajnya dan keluarnya menepati hari-hari kebiasaan haidnya serta kelihatan ciri haid pada darah tersebut, maka darah itu adalah darah haid.

9.             Warna Darah & Ciri-Ciri Utama

Syarat-syarat darah haid ialah;

a.             Warna darah yang keluar menepati ciri-ciri warna darah haid.

b.             Seorang wanita itu telah mencapai umur kemungkinan haid. Maka darah yang keluar sebelum umur tersebut tidak dianggap haid.

c.             Rahimnya kosong dari anak kerana wanita yang hamil tidak mungkin akan kedatangan haid mengikut jumhur ulamak (kecuali Syafi’ie dan Malik).

d.             Hendaklah tempoh kedatangan haid tidak kurang dari tempoh minimanya.

e.             Hendaklah kedatangannya tidak melebihi tempoh maksimanya.

f.              Hendaklah kedatangannya didahului oleh tempoh suci yang paling pendek (iaitu 15 hari mengikut mazhab Syafi’ie) bagi wanita yang telah biasa kedatangan haid.

g.             Tentang ciri-ciri utamanya, Nabi SAW menyifatkan dengan beberapa sifat seperti:

(1)           Keadaannya yang pekat.
(2)           Seperti terbakar (kerana kepanasannya).
(3)           Ia keluar dengan perlahan dan tidak mengalir seperti cairan yang biasa mengalir.
(4)           Bau yang busuk.
(5)           Warnanya yang hitam dan sangat merah.

h.             Jika darah yang keluar memenuhi syarat-syarat di atas, ia adalah darah haid. Jika tidak, maka ia bukan darah haid tetapi darah istihadhah.

10.           Apakah warna darah haid?

a.             Darah haid tidak bermula dan berakhir dengan satu sifat tertentu sahaja kerana kadangkala ianya berlaku perubahan warna dari satu tahap ke satu tahap.  Menurut ulama-ulama mazhab Syafi’e, terdapat 5 warna bagi darah haid: hitam, merah, warna antara keemasan dan merah, kuning dan keruh (warna antara kuning dan putih).
       
        b.         Menurut ulama Hanafi, terdapat 6 warna darah haid: hitam, merah, kuning, keruh, hijau, dan warna seperti tanah.

c.             Menurut ulamak; warna-warna darah haid ada lima, iaitu;

(1)           Hitam.
(2)           Merah.
(3)           Asyqar (warna antara merah dan kuning).
(4)           Kuning.
(5)           Keruh.

d.             Kebiasaannya, mula-mula datang haid berwarna hitam, kemudian berubah kepada merah, kemudian antara merah dan kuning, kemudian kuning dan akhirnya keruh (yakni antara putih dan hitam).

e.             Tanda habisnya haid ialah warna putih atau tiada sebarang warna. Apabila hilang semua warna-warna tadi sama ada kelihatan warna putih (seperti kapur putih yang disebut oleh Aisyah r.a. dalam hadisnya) atau tidak kelihatan sebarang warna, maka itu tandanya darah haid telah habis. Ketika itu, barulah ia boleh mandi dan melakukan ibadah sebagaimana wanita yang suci.

f.              Kebanyakan ulama berpendapat dengan pendapat sohih di kalangan fuqaha’ Syafi’e, warna kuning dan keruh tidak dianggap sebagai haid JIKA kedatangannya BUKAN pada waktu haid.

g.             Berlainan pula JIKA kedatangannya PADA waktu haid, maka ia (warna kuning atau keruh) dikira sebagai darah haid.

h.             Dalil yang dikemukakan dengan hadis diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ummi ‘Atiyyah r.a katanya: “Kami tidak menghitung warna kuning dan keruh selepas mandi akan sesuatupun”.

i.              Abu Yusuf mengatakan: “Warna kuning adalah haid sementara warna keruh bukannya haid kecuali jika didahului oleh darah.”  Ini bermakna:  Jika ia (warna kuning atau keruh) datang sebelum haid, maka ia bukannya haid. Menurut pendapat Abu Thaur, jika warna kuning atau keruh itu didahului oleh darah maka kedua-duanya dikira sebagai haid.

j.              Warna kuning dan keruh hanya dianggap haid pada hari-hari kebiasaan haid. Ini berpandukan kepada hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; para wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. (*Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih”. (Riwayat Imam al-Bukhari)Adapun selepas hari kebiasaan haid (yakni pada hari-hari suci), maka warna kedua-duanya tidak dianggap darah haid. Ini berdasarkan kenyataan Ummu ‘Athiyyah r.a. yang menyebutkan; “Kami tidak menghitung warna keruh dan juga kuning selepas suci (yakni setelah habis haid) sebagai sesuatu (dari darah haid)”. (Riwayat Imam Bukhari dan Abu Daud)

11.           Tanda Berhentinya Haid.  Tanda-tanda dan pemberitahuan ini merupakan pendapat yang dipegang dalam mazhab Hanafi, Syafi’e dan Maliki.
a.             Menurut Al-Imam al-Nawawi r.h, tanda terputusnya haid dan wujudnya suci adalah apabila berhentinya darah yang keluar dan cairan kuning dan keruh. Apabila terputus darah yang keluar maka wanita itu menjadi suci sama ada selepasnya keluar lembapan berwarna putih (keputihan) ataupun tidak.

b.             Menurut Aisyah isteri Rasulullah saw (kisah): Pernah beberapa orang wanita menghantar kepada Aisyah perca kain yang didalamnya terdapat kapas yang mempunyai kesan warna kuning, lalu Aisyah berkata: “Janganlah kamu gopoh melainkan setelah mendapati qissah (kapas) putih”.

c.             Menurut Asma’ binti Abu Bakar r.a, beliau pernah ditanyakan tentang sedikit warna kuning, lalu beliau berkata: “Tinggalkan sembahyang selagi mereka (kaum wanita) masih mendapati yang demikian sehinggalah ia tidak melihat melainkan seperti susu yang bersih”.

d.             Apakah caranya untuk memastikan darah haid benar-benar habis?

(1)           Hendaklah dilakukan pemeriksaan terhadap faraj, iaitu dengan memasukkan cebisan kain, kapas atau sebagainya ke dalam faraj dan melihat sama ada masih terdapat kesan darah haid atau tidak. Jika tidak ada kesan darah haid sama ada tidak nampak sebarang warna pada kain/kapas tersebut atau nampak warna putih seperti kapur, maka ketika itu barulah diharuskan mandi. Jika masih ada sebarang kesan warna darah atau warna kuning atau keruh, tidak harus mandi lagi kerana darah haid belum habis.

(2)           Kaedah pemeriksaan di atas diambil daripada amalan wanita-wanita sahabat sebagaimana yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a.; “Wanita-wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. (*Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih” (HR Imam al-Bukhari dan Imam Malik).

12.           Bilakah wanita haid dibolehkan mandi wajib?

Bila ia mendapati darah haidnya telah habis, yakni telah kering. Sabda Nabi s.a.w. dalam hadis ‘Aisyah r.a. (mengikut satu riwayat darinya); “Apabila haid kamu telah habis, maka mandilah dan tunaikanlah solat”.

13.           Penggunaan Ubat Untuk Mengeluar Dan Menghalang Haid

a.             Tidak mengapa sekiranya seseorang wanita menggunakan sesuatu yang dapat menghalang kedatangan haidnya atau mengundang kedatangan haid jika tidak dibimbangi berlaku apa-apa kemudaratan terhadap dirinya.
Menggunakan sesuatu yang menghalang haid HARUS dilakukan dengan 2 syarat:

(1)       Ia tidak bimbang berlaku kemudaratan terhadap dirinya. Jika bimbang, tidak harus buat berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 195:

(2)           Dilakukan dengan keizinan suami jika ia mempunyai hubungkait dengan hak suami seperti perempuan beriddah akibat diceraikan suaminya.

b.             Jika menggunakan ubat yang menyebabkan terputusnya haid bukan pada waktunya yang biasa, maka ia dianggap sebagai suci dan iddahnya tamat kerana terputus haid itu.  Namun, seorang wanita tidak harus menghalang kedatangan haidnya atau menyegerakannya jika ianya menyebabkan terjejasnya kesihatan. Ini kerana, memelihara kesihatan merupakan suatu kewajipan.

14.           Hukum-Hakam Berkaitan Dengan Haid

Dalam kitab al-Aysbah wal Nazair, Jalaluddin al-Sayuti menyebutkan terdapat 20 hukum yang berkaitan dengan haid. (12 HARAM, 8 TIDAK HARAM)

a.             12 daripadanya adalah HARAM

(1)           9 hukum yang HARAM itu ke atas PEREMPUAN itu sendiri:

(a)            Sembahyang
(b)           Sujud Tilawah
(c)            Sujud Syukur
(d)           Tawaf
(e)            Puasa
(f)            Iktikaf
(g)           Masuk ke dalam masjid jika dibimbangi mencemarkannya
(h)           Membaca al-quran
(i)            Menyentuh mushaf dan menulisnya
(j)            Bersuci * (menurut satu lagi pendapat oleh pengarang kitab al-Muhazzab)
(k)           Menghadiri orang yang muhtadhar (sakit mati)* (menurut pendapat Al-Muhamili)

(2)           3 hukum yang HARAM pula ke atas SUAMI:

1)     Persetubuhan
2)     Talaq
3)     Istimta’ diantara pusat dan lutut

b.             8 perkara yang TIDAK HARAM:

(1)     Baligh
(2)     Mandi
(3)     Iddah
(4)     Istibra’
(5)     Memastikan kebersihan Rahim
(6)     Menerima perkhabaran wanita yang haid
(7)     Jaguar kefardhuan sembahyang
(8)     Tawaf wada’  


Semua larangan di atas tidak terangkat kecuali setelah mandi wajib melainkan tiga larangan sahaja iaitu; puasa, talak dan melintasi masjid di mana ketiga-tiga larangan ini terangkat sebaik sahaja kering darah haid atau nifas, iaitu tidak disyaratkan selepas mandi barulah perkara-perkara tersebut harus dilakukan.

Bagi perempuan yang berdarah Istihadhah dan yang berdarah Fasad mereka adalah   dihukumkan suci.  Hendaklah mereka  membersihkan darah dan mengikatnya (memakai tuala wanita  yang baru) apabila masuk waktu  sembahyang, dengan mengambil wudhu dan segera mengerjakan sembahyang. Tidak boleh mereka melengah-lengahkannya.

DARAH ISTIHADAH

15.           Menurut Ustaz Sulaiman Endut dalam bukunya yang berjudul Asas-asas Fardhu Ain mengatakan bahawa :

“Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar dari faraj perempuan. Darah ini bukanlah merupakan darah haid atau darah nifas. Ia adalah sejenis darah penyakit. Seseorang perempuan yang ketika didatangi darah istihadhah, wajib berpuasa, bersembahyang dan boleh mengerjakan ibadah lain sama seperti orang lain yang tidak didatangi haid dan nifas.”

16.           Rumusan yang dapat dibuat berdasarkan pendapat di atas, istihadah merupakan darah yang keluar bukan pada masa haid dan nifas. Darah istihadah disifatkan sebagai darah penyakit. Untuk mengetahui darah istihadah ialah darah yang keluar dari rahim perempuan yang melebihi (15 hari dan malamnya) atau kurang (24 jam) dari tempoh haid dan nifas. Dari Aisyah ra berkata:

“Fatimah Binti Abi Hubaisy telah datang menemui Nabi SAW dan berkata : Wahai Rasulullah, aku telah beristihadhah, oleh itu aku tidak suci, maka adakah aku perlu meninggalkan solat? Sabda Rasulullah SAW : Tidak, itu hanyalah darah penyakit dan bukan darah haid. Ketika kedatangan haid hendaklah engkau meninggalkan solat, dan apabila kadarnya telah berlalu, maka hendaklah engkau membasuh darah yang berada pada diri engkau dan hendaklah engkau bersolat.” (Riwayat Al-Bukhari)

17.           Darah ini membatalkan wuduk tetapi tidak mewajibkan wanita tersebut mandi hadas dan tidak wajib meninggalkan solat serta puasa. Oleh itu wanita yang keluar darah tersebut hendaklah membasuhnya, mengikat atau membalut tempat keluarnya dan hendaklah berwuduk setiap kali hendak solat fardhu.

18.           Faktor Istihadhah

a.             Wanita yang mengeluarkan darah istihadhah adalah disebabkan kestabilan kesihatan tubuh badan yang terganggu atau stamina tubuh tidak terjamin yang disebabkan oleh kerosakkan organ-organ atau kelenjar-kelenjar yang berada dipersekitaran rahimnya. Kadang kala boleh juga disebabkan oleh gangguan emosi wanita tersebut.

b.             Darah istihadhah ini mengalir secara berterusan dan kadang kala ia berlarutan sehingga beberapa minggu. Jika keadaan sebegini berterusan, maka lebih baik mendapatkan rawatan dan nasihat doktor dengan segera untuk mengetahui apa puncanya.

19.           Ciri-ciri Istihadhah.

a.             Wanita umur sembilan tahun yang mengeluarkan darah.

b.             Wanita yang keluar darah melebihi batasan haid sebanyak 15 hari dan malamnya. Atau wanita yang mengeluarkan darah kurang dari 24 jam atau satu hari dan malamnya.

c.             Wanita yang mengeluarkan darah melebihi batasan masa nifas sebanyak 60 hari dan malamnya.

d.             Wanita didatangi darah sebanyak dua kali yang diselangi dengan masa suci kurang dari 15 hari dan malamnya.

20.           Hukum Istihadhah

a.             Tidak wajib mandi ketika ingin mengerjakan solat wajib ataupun sunat pada bila-bila masa. Kecuali satu kali ketika haidnya sudah berhenti.

b.             Orang Istihadhah wajib berwuduk setiap kali hendak mengerjakan solat.

c.             Hendaklah ia membasuh kemaluannya sebelum berwuduk dan kemudian ia menutup kemaluannya dengan sehelai kain atau kapas untuk menahan atau mengurangi najis daripada terus keluar. Jika cara ini tidak berjaya menahan darah istihadhah, maka hendaklah ia menyumbat atau mengikat kemaluannya supaya tidak bocor.

d.             Tidak menjadi halangan bagi suami yang ingin menjimak isterinya ketika istihadhah. Ini merupakan pendapat mejoriti para ulamak, kerana ia tidak mempunyai satu dalilpun yang mengharamkannya.

e.             Hukum wanita istihadhah sama sepertimana wanita yang suci daripada haid dan nifas. wanita istihadhah boleh mengerjakan solat, puasa, tawaf, membaca Al-Quran, menyertuh Al-Quran dan sebagainya.

DARAH NIFAS

21.           Definisi

Telah menjadi kebiasaan bagi wanita yang melahirkan anak akan diikuti dengan keluar darah dalam tempoh tertentu. Inilah yang dikenali dengan post-natal bleeding atau nifas. Nifas dari segi bahasa berasal daripada perkataan “na fi sa” yang bermaksud melahirkan. Darah nifas dari segi etimologi ialah darah yang keluar dari rahim wanita sesudah bersalin.

22.           Tempoh Nifas

a.             Bila bermulanya darah nifas? Menurut mazhab Syafi’i, darah nifas ialah darah yang keluar setelah melahirkan. Sekiranya bayi masih belum keluar kesemuanya, maka belum lagi dikatakan darah yang keluar ialah darah nifas tetapi dianggap darah penyakit. Oleh sebab itu, sekiranya wanita yang belum melahirkan tetapi amat sukar menunaikan ibadah solat disebabkan sakit melampau dan sebagainya, maka hendaklah dia melaksanakan solat sambil baring.

b.             Ulama sepakat mengatakan bahawa tiada tempoh minimum bagi nifas, walaupun sekadar satu titik darah sahaja yang keluar atau sedetik, tetap dikira darah nifas. Namun mereka berselisih pendapat dalam menentukan tempoh maksimum bagi nifas. Perselisihan tersebut boleh dibahagikan kepada dua pendapat seperti berikut:

(1)           Jumhur ulama mengatakan bahawa tempoh maksimum ialah 40 hari berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.ha., beliau berkata: “Pada masa Rasulullah, wanita yang melahirkan berhenti nifas setelah 40 hari.” (Riwayat Abu Daud)

(2)           Sekiranya seseorang wanita itu mengalami nifas dalam tempoh 40 hari, maka itu adalah darah nifas. Namun jika darah masih keluar selepas tempoh 40 hari, maka itu bukan lagi darah nifas sebaliknya itu dikira istihadah dan wajib bagi wanita tersebut mandi dan mengerjakan solat seperti biasa.

(3)           Al-Ja’fariyyah pula berpendapat tempoh nifas yang paling lama ialah 10 hari.

(4)           Mazhab Syafi’i pula mengatakan bahawa tempoh maksimum adalah 60 hari. Pendapat ini berdasarkan pengalaman dan pengamatan Imam Syafi’i yang mendapati terdapat wanita yang mengalami nifas sehingga menjangkau 60 hari. Hadis Ummu Salamah pula menunjukkan tempoh kebiasaan nifas bagi wanita, bukan tempoh maksimum.

c.             Oleh sebab itu, mengikut pendapat mazhab Syafi’i, wanita yang masih keluar haid selepas hari ke-40 hingga hari ke-60, itu adalah nifas. Namun sekiranya ada darah yang keluar selepas 60, maka itu adalah darah penyakit (istihadah) dan wajib bagi wanita tersebut mandi dan mengerjakan ibadat seperti biasa.
d.             Anas r.a. pula berkata: “Rasulullah telah memberikan waktu bagi wanita yang sedang nifas selama 40 hari kecuali jika wanita tersebut melihat dia telah suci sebelum waktu itu.” (Riwayat Ibn Majah)

23.           Bersalin Caesar

Terdapat sesetengah wanita yang tidak dapat bersalin normal disebabkan komplikasi tertentu sehingga terpaksa dibedah. Dalam kes seperti ini, al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-Ilmiyyah wa al-Ifta’ menyatakan bahawa hukum bagi wanita yang bersalin dengan kaedah Caesar adalah sama dengan wanita yang keluar nifas selepas bersalin normal. Apabila ada darah keluar, maka hendaklah ia meninggalkan solat dan puasa. Sebaliknya andainya tiada darah yang keluar, maka hendaklah ia mandi, mengerjakan solat dan berpuasa seperti biasa. (Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah)

24.           Keguguran

Bagi wanita yang keguguran, jika bayi yang dikandungnya telah cukup sifatnya, darah yang keluar itu adalah darah nifas. Namun sebaliknya, jika janin masih dalam keadaan segumpal darah atau daging, maka darah yang keluar itu hanyalah darah haid.

25.           Tiada nifas

a.             Ulama telah sepakat menyatakan bahawa wajib mandi bagi wanita yang telah kering daripada nifasnya. Cara-cara mandi adalah sama dengan mandi wajib setelah haid yang sedia maklum dalam kalangan wanita. Cuma yang membezakan adalah niat, atau boleh juga berniat dengan niat yang umum iaitu mengangkat hadas besar.

b.             Namun bagi wanita yang mempunyai darah nifas, adakah wajib mandi? Jawapannya ialah ya, wajib bagi mereka mandi wiladah (mandi sebab melahirkan).

c.             Bagi wanita yang bersalin kembar, masa nifasnya dikira bermula daripada kelahiran anak kembarnya.

26.           Darah yang Keluar sebelum melahirkan

Sekiranya ada darah yang keluar sebelum melahirkan, menurut al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-Ilmiyyah wa al-Ifta’, sekiranya darah yang keluar tidak diikuti oleh rasa sakit akibat kontraksi, maka darah tersebut bukan darah haid. Oleh sebab itu, ibadah sepatutnya diteruskan seperti biasa. Namun sekiranya darah yang keluar diikuti oleh kontraksi yang menyebabkan rasa sakit hampir melahirkan, maka darah itu darah nifas. (Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah)

27.           Keadaan-keadaan Nifas

a.             Wanita yang mengalami nifas kurang daripada tempoh 60 hari (mengikut mazhab Syafi’i) dikira nifas. Apabila didapati darah telah berhenti sebelum 60 hari, maka janganlah tergesa-gesa mandi melainkan telah pasti tiada darah yang keluar.

b.             Wanita yang mengalami nifas lebih daripada 60 hari secara terus-menerus. Maka dalam tempoh 60 hari itu dikira nifas. Darah yang keluar selepas 60 hari itu merupakan darah penyakit (istihadah).

c.             Darah nifas terputus-putus. Keadaan ini dialami oleh sesetengah wanita yang mengalami nifas untuk beberapa hari, berhenti beberapa hari dan kembali keluar dari lagi kemudiannya. Oleh itu, sekiranya darah yang keluar itu dalam tempoh 60 hari, maka darah yang keluar setelah berhenti seketika itu tetap darah nifas.

28.           Hukum-hukum bagi wanita yang berada dalam keadaan nifas.

Hukum wanita yang dalam keadaan nifas adalah sama seperti wanita yang berada dalam keadaan haid. (Rujuk Solusi isu 12)  Suami tidak boleh menggauli isterinya selama mana isteri masih dalam nifas. Namun bagi suami yang tetap menggauli isterinya dalam tempoh itu, tiada kafarah dikenakan sebagaimana yang ditetapkan terhadap suami yang menggauli isterinya semasa bulan Ramadan.

Sumber: SOLUSI

DARAH FASAD

29.           Darah fasad adalah darah penyakit seperti darah istihadhah, darah jenis ini keluar dari faraj wanita yang belum berumur Sembilan tahun dan keluar ketika wanita sakit hendak bersalin (sebelum belahirkan anak).

30.           Hukum darah ini sama seperti mana darah istihadhah, iaitu ia boleh mengerjakan segala amalan yang terhalang ketika haid dan nifas. Cara menyucikannya juga sama seperti darah istihadhah iaitu membasuhnya dan tidak perlu mandi hadas seperti keluarnya haid dan nifas.

31.           Bagi wanita yang mengalami darah fasad ketika hendak melahirkan anak, maka diwajibkannya mendirikan solat apabila masuk waktunya. Ketika ini si suami hendaklah memahami keadaan isteri yang sakit. Suami hendaklah membantu isteri untuk bersedia melakukan solat.Caranya ialah seperti berikut :

a.             Wanita yang mengalami kesakitan untuk bersalin, harus berusaha terlebih dahulu untuk memenuhi segala tuntutan syarak yang telah ditetapkan ketika seseorang itu hendak menunaikan solat. Contohnya seperti berusaha membersihkan diri, tempat solat, berwuduk, berpakaian solat atau seumpamanya.

b.             Wanita yang mengalami kesakitan untuk bersalin tidak mampu untuk bagun disebabkan keletihan atau hilang tenaga setelah lama bertarung dengan kesakitan bersalin, maka cukup dia meminta segelas air untuk berwuduk pada anggota yang wajib sahaja, selimutkan seluruh badannya untuk menutup segala auratnya dan teruskan solat secara berbaring.

c.             Jika wanita itu tidak mampu segala-galanya, maka cukuplah dia solat sekadar menghormati waktu sahaja. Apabila ia telah bersalin dan suci dari nifas, maka hendaklah ia qadha segala solat yang ia tinggalkan (solat menghormati waktu) ketika sakit hendak bersalin dahulu.

32.           Tetapi dalam masalah ini, terdapat perbezaan di antara ulamak, ada setengah pendapat yang lain mengatakan bahawa wanita yang hendak melahirkan anak, darah yang keluar dari farajnya itu termasuk di dalam darah wiladah dan tidak perlu ia mengerjakan solat. Di sini terserah kepada kita untuk menggunakan pendapat yang mana satu. Tidak berdosa jika kita pilih pendapat darah yang keluar semasa sakit untuk bersalin itu sebagai darah wiladah dan kita meninggalkan solat. Ini masalah khilaf (bersalahan pendapat), tidak ada yang salah dan semua pandangan yang diberikan adalah betul.